Aktiviti memanjat cerun/tebing batu yang juga lebih dikenali sebagai ‘rock climbing’ adalah salah satu aktiviti sukan ekstrem yang menjadi pilihan rakyat Malaysia dan pengunjung dari luar negara. Bergantung kepada tahap cabaran dan kepakaran individu, aktiviti ini boleh dijalankan samada didalam bangunan (indoor) atau boleh juga dilakukan di kawasan bukit, cerun, atau tebing semula jadi yang dipanggil outdoor. Kami senaraikan beberapa lokasi rock climbing outdoor di seluruh Malaysia yang boleh anda pergi dan cuba sendiri aktiviti ini!
1. Gunung Nenek Semukut, Pulau Tioman, Pahang
Puncak gunung yang juga dikenali dengan nama ‘Dragon’s Horn’ di kalangan pendaki adalah puncak berkembar yang dinamakan Gunung Nenek Semukut dan Batu Simau. Ia merupakan formasi batu granit yang berada di ketinggian kira-kira 703 meter dari paras laut dengan dinding batu yang berdiri tegak dalam ukuran 90 darjah dan tersenarai sebagai antara laluan pendakian yang paling sukar di rantau ini. Untuk mendaki puncak ini, para pendaki akan melalui kawasan hutan tropika Pulau Tioman yang juga kaya dengan beberapa spesis flora dan fauna yang jarang ditemui di kawasan lain. Perjalanan sebelum mendaki sahaja akan cukup untuk menguji kekuatan minda dan fizikal para pendaki kerana dikatakan memakan masa hampir beberapa hari untuk mencapai puncak gunung dan turun semula.
Baca pengalaman mendaki yang mencabar di SINI.
2. Bukit Keteri, Chuping, Perlis
Jurang batu kapur yang unik ini adalah salah satu lokasi popular untuk para penggemar rock climbing dari dalam dan luar negara disebabkan tahap kesukaran antara yang sukar di Asia Tenggara. Mempunyai lebih kurang 63 laluan dengan tahap cabaran dari yang mudah sehinggalah yang paling sukar. Bukit ini adalah dua formasi batu yang mana hanya bahagian di sebelah barat bukit ini sahaja yang sudah diterokai. Pendakian di bukit ini akan memberikan anda pemandangan yang memukau termasuk dari kawasan sawah padi di sekelilingnya itu.
Download informasi topografi Bukit Keteri atau boleh juga baca pengalaman mendaki dari Rakap Besi
3. Mountain Torq, Gunung Kinabalu, Sabah
Tahukah anda apa itu Via Ferrata? Membawa makna rod besi dalam bahasa Itali, Via Ferrata ialah laluan pendakian selamat yang menggunakan rel, kabel dan anak tangga besi yang melekap pada permukaan batu sebagai laluan atau titian untuk membolehkan para pendaki berjalan di persisiran gunung. Mountain Torq ialah Via Ferrata pertama dia Asia dan merupakan yang tertinggi di dunia yang bermula pada ketinggian 3,200 meter sehingga ke ketinggian 3,776 meter melebihi atas laut di Gunung Kinabalu. Mountain Torq memberikan peluang kepada para pendaki yang kurang atau tidak berkemahiran langsung untuk merasai pengalaman mendaki Gunung Kinabalu.
Saksikan pengalaman Via Ferrata di minit 2.26 video ini:
4. Gunung Sempeneh, Batu Kurau, Perak
Gunung Sempeneh terletak di mukim Batu Kurau di daerah Larut Matang. Hanya 20 kilometer dari Taiping, para penggemar akan dapat menikmati pelbagai tarikan di daerah tersebut. Pelbagai aktiviti rekreasi yang boleh dilakukan di Gunung Sempeneh antaranya ialah rock climbing. Pendakian yang mencecah sehingga 20-25 meter tinggi ini dapat memberikan pemandangan yang indah setibanya di puncak pendakian. Terdapat lebih kurang 18 laluan yang boleh dipilih para pendaki Gunung Sempeneh. Selain itu juga, terdapat pakej-pakej aktiviti yang disediakan oleh pengendali tempatan bagi yang para pengunjung yang berminat.
5. Needle of Tambun, The Lost World of Tambun, Perak
Puncak yang dikenali dengan nama Needle of Tambun ini sudah menjadi sebahagian dari taman tema Lost World of Tambun. Ia merupakan formasi batu kapur yang sangat unik dan sudah tentunya menjadi tarikan pengunjung terutamanya di kalangan peminat sukan lasak rock climbing. Dengan ketinggian 40 meter dan sisi setegak 90 darjah, batu kapur yang berusia hampir jutaan tahun ini sudah mendapat perhatian para pendaki dari serata dunia. Puncak ini juga mempunyai 50 laluan yang boleh diterokai oleh para pendaki.
6. Jesselton Park, Pulau Pinang
Namanya mungkin sedikit mengelirukan tetapi lokasi ini bukanlah sebenarnya dia dalam taman. Lokasinya terlindung di sebalik kawasan perumahan banglo yang mewah yang dinamakan Jesselton Avenue. Batu granit semula jadi ini mempunyai dua permukaan utama dengan 11 laluan keseluruhannya. Para pendaki di nasihatkan untuk ber ’carpool’ untuk masuk ke kawasan perumahan itu supaya tidak mengganggu penduduk setempat. Meskipun kawasan pendakian kelihatan kecil tetapi ia tidak semudah yang dijangkakan dan sudah pasti dapat memberikan pengalaman baru kepada para pendaki.
7. Kampung Paya Gunung, Jerantut, Pahang
Bukit ini dikatakan telah wujud sejak berjuta tahun dan menurut penduduk setempat, ia pernah dijadikan tapak kuari pada suatu ketika dahulu. Merupakan lokasi pendakian Via Ferrata kedua selepas Mountain Torq di Gunung Kinabalu. Pada ketinggian 120 meter dari paras laut, para pendaki dapat menanjak bukit batu kapur itu sambil melihat pemandangan 360 darjah bagi kawasan di sekitarnya termasuk pekan jerantut, gua Kota Gelanggi serta pemandangan Gunung Senyum. Sesuai bagi para pendaki yang tiada sebarang pengalaman mahupun yang sudah profesional, pendakian di sini akan dipimpin oleh pemandu arah yang berpengalaman.
8. Gua Pari-Pari, Bau, Sarawak
Gua Pari-Pari atau ‘Fairy Cave’ yang terletak lebih kurang 30 kilometer dari bandar Kuching ini adalah antara lokasi pelancongan yang terkenal di Sarawak. Selain itu, ia turut menjadi lokasi pilihan peminat sukan ekstrem rock climbing dari serata dunia disebabkan oleh struktur batuannya yang menarik. Terdapat beratus laluan yang boleh dicuba di gua ini dengan pelbagai darjah kesukaran. Setiap laluan juga diberi nama dengan nama pendaki pertama yang menggunakan laluan itu. Struktur stalaktit dan stalagmit gua ini turut menjadi sebahagian dari tarikan serta cabaran buat para pendaki disamping menjadikan ia sebagai salah satu pendakian yang mencabar di negara ini.
Lihat Bucket List: Teroka gua-gua di Malaysia juga!
9. Gunung Buros, Serian, Sarawak
Gunung Buros ialah gunung batu kapur kecil di daerah Serian dan gunung ini dilihat dengan jelas dari arah jalan di Kampung Batang. Lebih kurang 45 kilometer perjalanan dari bandar Kuching, perjalanan ini akan membawa anda melalui kawasan perkampungan dan juga ladang lada hitam sebelum tiba di kaki gunung itu. Selain dindingnya yang agak curam, gunung ini juga terkenal dengan permukaan batu kapurnya yang putih dan bentuk permukaan yang sangat menarik dengan sebahagiannya kelihatan tergantung dan memberikan cabaran yang berbeza buat para pendaki.
10. Bukit Takun, Rawang, Selangor
Terletak lebih kurang 30 minit dari Kuala Lumpur, Bukit Takun merupakan unjuran batu kapur gergasi yang terletak atas dasar granit yang dikelilingi oleh hutan dan Padang Golf Templer. Dengan tebing setinggi 300 meter dan berterusan sehingga mencecah 230m panjang, bukit ini merupakan lokasi popular penggemar aktiviti sukan lasak rock climbing sejak sejak tahun 1985, menjadikan ia salah satu lokasi rock climbing yang terawal di negara ini! Terdapat beberapa laluan mendaki yang boleh dicuba oleh para pendaki bahkan sehingga kini, dikatakan masih banyak laluan yang berpotensi untuk diteroka di Bukit Takun ini.
11. Gua Damai, Batu Caves, Selangor
Bagi yang berada di Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran, terdapat beberapa lokasi dan pusat latihan rock climbing di Batu Caves dan salah satunya bertempat di Gua Damai. Ekspedisi rock climbing di sini sesuai untuk pelbagai peringkat umur samada berpengalaman atau tidak. Pendakian boleh mencecah sehingga ke ketinggian 30 meter dengan beberapa pilihan laluan yang boleh dicuba. Pendakian anda akan dipandu oleh pemandu profesional yang berpengalaman dan dengan menggunakan peralatan yang diperakui selamat. Anda terlebih dahulu akan diajar mengenai asas pengetahuan sebelum memulakan latihan pendakian di tebing batu kapur Batu Caves tersebut. Berbeza dengan Bukit Takun, lokasi ini amat sesuai bagi pengunjung yang ingin menikmati aktiviti ini bersama keluarga dan kanak-kanak.
Bagi yang berminat untuk mencuba aktiviti ini, anda boleh dapatkan pakej menarik untuk aktiviti rock climbing di Gua Damai, Batu Caves dengan harga bermula dari RM170 sahaja! Untuk maklumat lanjut dan lebih banyak aktiviti menarik, layari staycation.xtvt !
Bucket List: 11 Outdoor Rock Climbing di Malaysia
-
-
- Gunung Nenek Semukut, Pulau Tioman, Pahang: 703 meter, anggaran 14 laluan, Batu Granit
- Bukit Keteri, Chuping, Perlis: 65 meter, 63 laluan, Batu Kapur
- Mountain Torq, Gunung Kinabalu, Sabah: 3776 meter, 2 laluan, Batu Granit
- Gunung Sempeneh, Batu Kurau, Perak: 20-25 meter, 18 laluan, Batu Kapur
- Needle of Tambun, The Lost World of Tambun, Perak: 40 meter, 50 laluan, Batu Kapur
- Jesselton Park, Pulau Pinang: 20 meter, 11 laluan, Batu Granit
- Kampung Paya Gunung, Jerantut, Pahang: 120 meter, 20 laluan, Batu Kapur
- Gua Pari Pari, Bau, Sarawak: 30 meter, ratusan laluan, Batu Kapur
- Gunung Buros, Serian, Sarawak: 20 meter, 8+ laluan, Batu Kapur
- Bukit Takun, Rawang, Selangor: 300 meter, 128 laluan, Batu Kapur
- Gua Damai, Batu Caves, Selangor: 30 meter, 59 laluan, Batu Kapur
-
Pastikan anda masukkan lokasi-lokasi ini dalam Bucket List anda!